Friday, May 18, 2012

'Willow'

Assalamualaikum..

Khabar apakah kalian?
Yang jauh. Yang dekat. Yang baru dipinang orang. Yang baru berkahwin. Yang bakal menimang cahaya mata. Yang sedang bahagia. Barangkali juga yang sedang dilanda ujian dan derita.

Sedang apakah kalian di sana?
Doa saya. Harapan saya. Moga-moga kalian sedang hidup dengan baik-baik saja. Teriring harap-harap, rahmat dan kasih Ilahi. Selalu.

Kata Feng Meng Long, cendikiawan Dinasti Ming dalam bukunya Yu Shi Ming Yan;
Bunga pun akan layu bila berlebih diberi rawatan. Adapun, willow kau saksikan tumbuh subur meski diabaikan.

 [Sumber]

Adapun, willow-willow dalam hidup saya, meski kalian kuabaikan, jauh di sudut hati, bila sesekali kenangan datang mengusik fikiran, bahkan bila ada waktu-waktunya memori lama hadir membuahkan senyuman, tiada lebih yang kupinta melainkan hanyalah, agar Tuhan lebih mengasihi diri kalian berbanding saya. Moga-moga kalian sedang tumbuh subur. Moga-moga cahaya mentari di sebelah sana kan lebih cerah untuk kalian. Moga-moga.

Pada yang pernah terluka kerana diabaikan, maafkan saya. Sudah sehabis upaya, saya cuba untuk tidak mengabaikan kalian dalam rutin seusai solat. Juga. Untuk semua salah dan silap yang pernah dilakukan, maafkan saya. Andai ada bicara malah andai ada kebisuan yang barangkali pernah merobek rasa, maafkan saya.

Barangkali akan hilang lagi untuk suatu tempoh yang tidak dapat dinyatakan di sini. Satu semester telah hampir berlalu, peperiksaan akhir penggal bakal menyusul. Doakan saya agar baik-baik saja. 

Sunday, April 29, 2012

I Don't Have

[Setelah sahabat sah menjadi isteri orang.]

Yan,
I really don't have any stories to share. Here.
I really don't have any words to say. Here.
But seriously, I know you knew everything I wanna share. 
You knew every word I wanna say. 

Masih terasa, hangatnya air mata yang bergenang saat memandu pulang sendirian tadi. 
I don't know why.
And..don't ask me why. Haha. Garang tak?

Semoga bahagia itu terus menjadi milikmu. 
Tahniah, Puan Maryanti.

Saturday, April 21, 2012

Hakikat Pinjaman

Baru-baru ini dikejutkan dengan berita pemergian seseorang akibat kemalangan. Suami kepada cikgu Prinsip Akaun semasa sekolah menengah dulu. Entahlah. Sedang sibuk-sibuk dengan exam, program, dan perkara-entah-hape-hape lagi tu, tiba-tiba dapat berita ni, rasa tersentap sekejap. Sebak tiba-tiba. 

Menyedarkan saya tentang hakikat pinjaman. Menginsafkan saya bahawa, suatu hari nanti, yang kita ada ini, perlu dikembalikan. Mengejutkan saya dari mimpi indah, yang kita punya ini, akan diambil kembali. Cuma barangkali, hakikat pinjaman yang ini berbeda dengan hakikat pinjaman manusia dalam dunia ini. Kita tidak akan tahu bila tarikh akhir ia akan kekal dalam tangan kita. Bila sampai waktunya, kembalilah dia. Bila tiba saatnya, pulanglah dia. 


Hidup ini singkat sebenarnya. Walaupun kita selalu dengar orang cakap, lambatnya nak Jumaat. Walaupun kita sering dengar, jalan kita masih panjang. Walaupun kita acapkali dengar, lambatnya nak cuti. 

Khusus untuk guru saya, moga ditabahkan hati menghadapi ujian Ilahi.
Dan buat semua, hargai insan yang ada di sekeliling kita. Nikmati hidup ini dan berbagi kebahagiaan dengan sesama. Selagi kita masih punya masa. Dan selagi mereka juga punya waktu.

Saturday, April 07, 2012

Banyak Lagi

Sudah April. Maknanya, sudah hampir satu-pertiga tahun telah berlalu. Juga sudah satu-perdua semester telah pergi. Seiring dengan takdir-Nya.

Banyak lagi perkara yang bakal tiba. Dan pastinya akan menuntut ketabahan yang bukan sedikit-sedikit. Yang bukan sekejap-sekejap. Bahkan yang panjang-panjang. Yang banyak-banyak.

Banyak lagi orang yang bakal ditemui. Banyak lagi sikap manusia yang bakal diladeni. Dan pastinya akan menuntut kesabaran yang bukan senang-senang. Bahkan yang susah-susah. Yang payah-payah.

Banyak lagi.

(...)



"Dan semua kunci-kunci yang ghaib ada padaNya, tiada yang lebih tahu melainkan Dia. Dia mengetahui segala yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun yang gugur tanpa pengetahuanNya. Tidak juga biji benih dalam kegelapan bumi dan tidak juga sesuatu yang basah dan kering kecuali tertulis di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)."

Teringat kata-kata seseorang.
"Selalu ada hikmah yang kita takkan nampak sekarang."

Ya. Bukankah hidup ini adalah fasa-fasa yang menuntut kekuatan menunggu?

Sunday, March 25, 2012

Sebening Prasangka

Kata orang, mencari input memang mudah. Menghadamkannya juga tidak susah. Cuma itulah. Bila tiba saat mahu mempraktikkannya, kita sering tersilap langkah.

Baru semalam habis membaca buku 'Dalam Dekapan Ukhuwah.' Saya rasa. Saya sudah jatuh cinta dengan penulisan Salim A. Fillah. Hee..Ketinggalan betul. Orang lain dah lama dah jatuh cinta tapi diri sendiri baru saja nak berputik. Barangkali betullah apa yang diperkatakan guru saya dahulu; bahasa Indonesia ini, lembut sebenarnya. 

Sekadar mahu berkongsi sedikit bingkisan penulis muda itu di sini. Tajuk entry ini, itulah juga tajuk bingkisan kecil tapi indah ini.

"dengan satu kekecualian kecil
seluruh dunia terdiri dari orang lain
melalui merekalah kita dianugerahi persaudaraan

tapi dari semua alasan kita menarik seseorang ke dalam hidup kita
tentu salah satunya bukan untuk menemukan kesalahannya
atau mencari-cari aibnya

kerena itulah, di jalan-Nya kita bermesra
dengan sebening-bening prasangka"

-Salim A. Fillah-

Baca sekali memang tak faham. Perlu baca lima-enam-kali. Nanti fahamlah..[Senyum]

Wednesday, March 14, 2012

Musim Luruh

[Di hadapan bangunan rektor. Pada pagi 11 Mac 2012.]

Sekarang ini musim luruh. Di UIA. Bunga 'sakura' (bukan nama sebenar. haha. eh.) ada di mana-mana. Cantik. Dan saya. Sangat suka dengan pemandangan ini. Sebab saya. Sangat suka pada musim luruh. One day, nak pergi negara empat musim. Nak rasa semua. 

Sebenarnya nak tulis post bertajuk 'Wordless Wednesday'. Tapi tak ter'wordless' pula. 

Saturday, March 10, 2012

Update Ringkas II

Tahun ini sangat tak produktif. Dari segi penulisan. Maaflah. Saya mengandaikan yang diri sendiri sangat sibuk. Namun, realitinya tiba-tiba disampaikan oleh Tuhan kepada saya melalui guru saya di dalam kelas Ayat Ahkam tempoh hari.

"Jika kamu tidak membaca, kamu tidak akan mampu menulis. Fala budda an taqra'."

Terasa ingin menepuk wajah sendiri sambil cakap "ktangggg!". Kerana. Realitinya, bukanlah saya terlalu sibuk untuk meluangkan sedikit masa untuk menulis. Realitinya, bukanlah saya banyak lagi tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan. 

Namun, realitinya; itulah. Saya 'kosong' rupanya lewat kebelakangan ini. Untuk memberi, kita kena ada sesuatu untuk diberi. Untuk memberi pengisian, kita lah yang terlebih dahulu perlu diisi. 

Guru saya menambah lagi.

"Untuk menjadi seorang muslim yang 'alim itu, dia perlu menghabiskan sebuah buku untuk dibaca setiap hari."


[Sumber. Yang sedang dibaca. (-:]

Jadi, itu satu. Setiap hari kena membaca. Sehelai pun jadilah.

Kemudian, mengenai pergolakan dan revolusi umat yang berlaku di Syria. Saya pasti semua orang tahu tentangnya. Cuma, mungkin di bumi UIA ini, disebabkan terdapat pelajar-pelajar yang datang dari sana, maka mungkin, semangatnya itu lebih terlihat. Lebih terkesan dalam dada. Berpeluang menghadiri talk tentang Save Syria Campaign, rasa itu pastilah terlebih-lebih lagi. Sedih. Simpati. Marah. Semuanya mengambil tempat.

Dipersembahkan dengan sebuah lakonan pendek bagaimana revolusi itu bermula, sebak dan marah silih berganti dalam hati. Speech by President untuk kempen itu yang meluap-luap semangatnya, menyala-nyala juangnya, mengundang takbir untuk bergema beberapa kali di dalam dewan. Di akhir program, infaq untuk saudara seIslam di sana, berduyun-duyun datang. Seingat saya, yang paling tinggi jumlah infaqnya malam itu RM360 daripada seorang lelaki. Yang tidak berkesempatan untuk hadir, mungkin akan tertanya-tanya bagaimana jumlah infaq individu itu boleh diketahui umum tapi itulah yang berlaku pada malam itu. Sesiapa yang ingin membantu dari segi kewangan, walaupun jumlahnya hanya 10 sen, dia perlu memberitahu berapa jumlah infaqnya.

[Save Syria Campaign (Malaysia). Sumber.]

Kemudian, tempoh hari, berpeluang berprogram di Pekan, Pahang. Seronok. Sementara masih muda, pengalaman mahu ditimba sebanyak-banyaknya.


Akhir sekali, mungkin mengenai kesedihan yang sedang melanda seorang teman. Diuji Tuhan dengan dugaan terbesar bagi dirinya - Mak. Melihat seorang demi seorang diuji dengan ujian yang sama, ia pernah menjentik rasa di hujung tangkai hati bagaimana rasanya nanti, sekiranya ujian itu hadir juga buat diri sendiri. 

Sudah panjang. Setakat itu saja dahulu.

Monday, February 27, 2012

Titik Terlemah

Baru kelmarin, tadabbur surah Al-Ankabut. Tersentuh dengan ayat ke-2. 

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan kami telah beriman dan mereka tidak diuji?”

Hidup ini kata orang, adalah sebuah perjalanan. Ertinya bukan setakat jalan lurus, bahkan berliku. Bersimpang-siur. Sempit. Sunyi. Menuruni segala lembah. Mendaki segala bukit dan gunung. Menganjur sepanjang pantai. Sebelum berakhir ke destinasinya yang tertentu; mengadap Tuhan. Justeru, hidup bukan sesuatu yang mudah. Ada tanggungjawab, ada kewajipan untuk kita laksanakan secara tuntas dan jujur.

Juga ada ujian, ada halangan dan cabaran yang perlu kita tempuh. Ada masa-masanya kita tak dapat nak tolak sesuatu yang datang. Terpaksa juga menerima walaupun pahit.  Itu semua bukan untuk melemahkan iman kita malah, itulah nanti yang bakal menguatkannya. Cuma barangkali yang telah runtuh dalam diri kita adalah semangat. 

Sedar atau tidak, manusia selalu begitu. Lemah. Manja. Terlalu menyayangi diri sendiri. Sehingga tidak tega melihat diri diuji berkali-kali. Sehingga tidak sanggup melihat diri menangis berulang kali. Sehingga tidak rela melihat diri bersusah payah setiap hari. Lantas, beban kesalahan sering dibiarkan terletak di bahu keadaan. Beban kesilapan acapkali dibiarkan terletak di bahu takdir Tuhan.

Yang saya tahu, manusia sering diuji pada titik terlemah dalam hidupnya. Sehingga kita rasa berat mahu melangkah. Sehingga kita rasa ingin menangis semahu-mahunya. Sehingga kita rasa putus asa dengan semuanya. 

Mengaitkan itu dengan diri sendiri, mungkin titik terlemah saya adalah harta, buat masa ini. Kereta rosak, lalu saya keluarkan sebahagian besar baki duit PTPTN hanya untuk itu. Telefon bimbit nyaris hilang 2 kali. Kereta juga kerap digunakan sekarang ini, lalu minyak sering habis digunakan macam air mengalir saja lagaknya. Tapi bila difikirkan semula, kereta rosak; rasionalnya, dah memang pakai kereta, maka nak tak nak, maintenancenya perlu dijaga. Telefon genggam nyaris hilang; rasionalnya, dah memang sifat manusia itu, seringnya lupa berbanding ingat, maka sedar tak sedar, cuai tu sering mengambil tempat. Kereta kuat pakai minyak; rasionalnya, dah tau kereta tu kuat pakai minyak, yang tak jalan kaki tu kenapa.

Kejam betul ayat last tu. Eh. Tapi, itulah manusia. Manja. Terlalu sayangkan diri sendiri. Pun begitu, Tuhan selalu adil dengan hamba-hambanya. Saat kita rasa sedih, tak lama lepas tu, Dia hadiahkan pula kegembiraan untuk hamba-Nya yang sedang bersedih tu. Ditakdirkan Tuhan bertemu sahabat yang sudah lama tak ditemui, membuat hati saya langsung terubat. Gembira. Tak terkata. Seronok. Tak terkira.
 
[Dengan Kak Athirah yang kukasih.(-:]

 [Dengan Wahidah, pernah sama-sama merasa jerihnya mencari sesuap rezeki.]

Mungkin, sekarang ini, isunya bukan tentang seberapa berat ujian yang kita dapat namun, sejauh mana kita mampu bersyukur dan bersabar dengan takdir yang sudah tertulis untuk kita.