Sunday, February 12, 2012

Sekadar Rasa II

Sekadar rasa mahu menulis. Dah dua minggu terbiar. Internet UIA semester ini tidak lagi berlaku baik terhadap saya sebab tidak sampai ke bilik baru. Justeru, hanya akan online bila terasa rajin nak keluar cari line atau bila ada urusan penting yang melibatkan penggunaan internet. Disebabkan kekangan mendapatkan line, maka banyaklah kisah yang ingin dikongsikan di sini berkubur begitu saja. Atau mungkin sudah terbang bebas ke angkasa. Atau juga mungkin ku simpan saja - menjeruk rasa yang ada.

Sekadar rasa ingin memberitahu. Saya sudah di tahun 5 sem ini. Meneruskan pengajian yang berbaki setahun untuk menggenggam ijazah ke-dua. Alhamdulillah, kali ini ditakdirkan Tuhan untuk bermastautin di Mahallah Safiyyah. Masih dalam proses adaptasi memandangkan diri bukanlah jenis orang yang mudah ingat jalan. 

Sekadar rasa ingin berkongsi. Voucher RM200 sudah 3 keping digunakan. Masih berbaki sekeping. Kitab-kitab yang bakal digunakan juga baru dibeli 1/4 daripada keseluruhannya, mungkin. Banyak lagi yang perlu dibeli. Harap-harap tidak membebankan bonda.

Sekadar rasa mahu mengkhabarkan. Sem ini juga bakal menyaksikan hujung minggu saya penuh dengan prorgram. Harap-harap semua hak-hak mereka bakal tertunai dan tanggungjawab diri juga mampu terlaksana.

Sekadar rasa mahu bercerita. Tuhan mengkabulkan hasrat saya untuk memiliki sebuah buku yang sudah lama dicari. Baru semalam jumpa. [Senyum lebar-lebar]. Terima kasih atas bantuan, Puan Fathiyyah. Juga terima kasih kerana menemani, Kak Mast. Hanya mampu menyelak beberapa helaian. Banyak beban dalam kepala membuatkan diri tidak bisa khusyuk membaca. 

Juga, sekadar rasa ingin meluahkan yang diri sedang menanggung rindu terhadap si kecil Alya di rumah. Mendengar suaranya ketawa-ketawa bila diagah dari corong telefon saja sudah cukup membuatkan hati meronta-ronta mahu pulang.


Sudah panjang rasanya. Melalut-lalut mengenai diri sendiri saja banyaknya. Sekian dulu. [Senyum.]

0 comments: