Baru kelmarin, tadabbur surah Al-Ankabut.
Tersentuh dengan ayat ke-2.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan
dibiarkan hanya dengan mengatakan kami telah beriman dan mereka tidak diuji?”
Hidup ini kata orang, adalah sebuah
perjalanan. Ertinya bukan setakat jalan lurus, bahkan berliku. Bersimpang-siur.
Sempit. Sunyi. Menuruni segala lembah. Mendaki segala bukit dan gunung.
Menganjur sepanjang pantai. Sebelum berakhir ke destinasinya yang tertentu;
mengadap Tuhan. Justeru, hidup bukan sesuatu yang mudah. Ada tanggungjawab, ada
kewajipan untuk kita laksanakan secara tuntas dan jujur.
Juga ada ujian, ada halangan dan cabaran
yang perlu kita tempuh. Ada masa-masanya kita tak dapat nak tolak sesuatu yang
datang. Terpaksa juga menerima walaupun pahit. Itu semua bukan untuk melemahkan iman kita
malah, itulah nanti yang bakal menguatkannya. Cuma barangkali yang telah runtuh
dalam diri kita adalah semangat.
Sedar atau tidak, manusia selalu begitu. Lemah.
Manja. Terlalu menyayangi diri sendiri. Sehingga tidak tega melihat diri diuji
berkali-kali. Sehingga tidak sanggup melihat diri menangis berulang kali.
Sehingga tidak rela melihat diri bersusah payah setiap hari. Lantas, beban
kesalahan sering dibiarkan terletak di bahu keadaan. Beban kesilapan acapkali
dibiarkan terletak di bahu takdir Tuhan.
Yang saya tahu, manusia sering diuji pada titik terlemah dalam hidupnya. Sehingga kita rasa berat mahu melangkah. Sehingga kita rasa ingin menangis semahu-mahunya. Sehingga kita rasa putus asa dengan semuanya.
Mengaitkan itu dengan diri sendiri, mungkin
titik terlemah saya adalah harta, buat masa ini. Kereta rosak, lalu saya
keluarkan sebahagian besar baki duit PTPTN hanya untuk itu. Telefon bimbit
nyaris hilang 2 kali. Kereta juga kerap digunakan sekarang ini, lalu minyak sering
habis digunakan macam air mengalir saja lagaknya. Tapi bila difikirkan semula,
kereta rosak; rasionalnya, dah memang pakai kereta, maka nak tak nak,
maintenancenya perlu dijaga. Telefon genggam nyaris hilang; rasionalnya, dah
memang sifat manusia itu, seringnya lupa berbanding ingat, maka sedar tak
sedar, cuai tu sering mengambil tempat. Kereta kuat pakai minyak; rasionalnya,
dah tau kereta tu kuat pakai minyak, yang tak jalan kaki tu kenapa.
Kejam betul ayat last tu. Eh. Tapi, itulah
manusia. Manja. Terlalu sayangkan diri sendiri. Pun begitu, Tuhan selalu adil
dengan hamba-hambanya. Saat kita rasa sedih, tak lama lepas tu, Dia hadiahkan
pula kegembiraan untuk hamba-Nya yang sedang bersedih tu. Ditakdirkan Tuhan
bertemu sahabat yang sudah lama tak ditemui, membuat hati saya langsung
terubat. Gembira. Tak terkata. Seronok. Tak terkira.
[Dengan Kak Athirah yang kukasih.(-:]
[Dengan Wahidah, pernah sama-sama merasa jerihnya mencari sesuap rezeki.]


0 comments:
Post a Comment